Sabtu, 21 Mac 2015

Perjalananku selepas SPM

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua pembaca! Apa khabar semua? Ya Allah, lama sungguh si penulis blog ini tidak mengemaskini blognya. Benar, hal ini kerana saya kini melanjutkan pengajian dan sibuk dengan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Alhamdulillah, telah saya temui masa ini untuk diluangkan bersama para pembaca sekalian. Baru-baru ini telah keluar keputusan adik-adik SPM 2014 bulan lepas dan Alhamdulillah, keputusan mereka seperti biasa. Ada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ada yang sekadar cukup-cukup makan.
          Namun, apa yang ingin saya tekankan ialah segala keputusan yang anda perolehi adalah di tangan Allah S.W.T.. Maka, bersyukurlah dengan apa yang Allah S.W.T. berikan kepada kita semua. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya kerana Allah S.W.T. Maha mengetahui. Apa kaitan dengan tajuk yang saya berikan kali ini? Anda semua mesti tertanya-tanya, bukan?
          Ya, suka untuk saya kongsikan perjalanan saya selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013. Selepas sahaja peperiksaan SPM pada bulan Disember, saya telah menerima surat jemputan daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkenaan dengan penyertaan saya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
          Pada mulanya, saya telah merancang untuk bekerja sambilan dan membuat lesen memandu dalam tempoh tiga bulan tersebut. Namun, sebagaimana kita tahu, kita hanya mampu merancang akan tetapi Allah S.W.T. yang menentukannya. Jadi, saya pun melaporkan diri ke Kem PLKN Dusun Minda Resort di Kuala Nerang, Kedah.
          Dengan rasa terbuka hati, saya bertekad untuk mencari ilmu pengetahuan yang ada dalam program kebangsaan ini. Sebagaimana orang lain mengatakan bahawa program ini banyak negatif daripada positif, saya menafikannya kerana saya telah melaluinya. Ini kerana, jika kita menggunakan sepenuhnya program ini untuk kebaikan diri kita, maka kita akan dapat apa yang kita mahukan.
          Hasilnya, banyak pengalaman yang saya perolehi daripada program tersebut. Lagi-lagi baru keluar daripada sekolah aliran agama (culture shock). Saya amat bersyukur kerana dapat mengenali dan bergaul dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang. Di kem saya, saya dapat berkawan dengan bangsa India, Cina dan Siam.
          Memanglah orang akan kata saya lurus namun, di sinilah saya membuka mata dan melihat realiti sebenar belia dan fikiran mereka dalam masyarakat di negara kita. Ada yang baik dan ada yang sebaliknya. Akan tetapi, di kem tersebut, kesemuanya berfikiran positif dan ingin berubah ke jalan yang lurus.
          Berdasarkan kisah-kisah rakan-rakan saya di sana, ada yang datang daripada keluarga yang susah sehinggakan mereka sanggup memakai pakaian yang diisukan oleh pihak kem sahaja tanpa pakaian daripada rumah mereka disebabkan kemiskinan sepanjang program ini dijalankan. Mereka ini amat bersyukur kerana diberi peluang untuk hadir ke kem ini.
          Selain itu, ada yang mempunyai masalah peribadi sehinggakan dia melibatkan diri dalam gejala menghisap rokok dan dadah. Saya amat bersimpati ketika bertemu mereka yang sebaya dengan saya. Apa yang saya kagum daripada mereka ialah mereka tidak berasa malu untuk menceritakan pengalaman hidup mereka di samping menasihati saya agar tidak mengikuti jejak langkah mereka.
          Benar, masyarakat kita berbagai-bagai jenis spesis. Bak kata pepatah, banyak orang, banyak ragamnya. Namun, apa yang ingin saya tekankan ialah kita seharusnya prihatin dengan semua orang dan pupuk sikap simpati dan empati dalam diri kerana dengan sikap ini kita dapat membantu saudara saudari kita yang hanyut. Banyak benda yang saya dapat daripada PLKN.
          Saya amat bersyukur dengan apa yang Allah S.W.T. berikan kepada saya ini. Jika hendak dibandingkan nikmat yang kita perolehi dengan rasa syukur kita amatlah jauh bezanya. Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri dan senantiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. sebelum Allah S.W.T. menarik balik kesemua nikmat tersebut. Wallahualam.