Khamis, 17 Mac 2016

Kokoro (Kalbu): Bahagian I

Aku dan Sensei
“Aku” merupakan seorang penuntut muda dan telah pergi ke Kamakura atas desakan rakannya. “Aku” telah membuat keputusan untuk terus tinggal di Kamakura sementara cuti masih panjang sebelum penggal persekolahan bermula. Semasa “Aku” memerhati keindahan dan suasana di pantai yang dikerumuni oleh ramai pengunjung yang lain, di tengah-tengah kesibukan tersebut, watak “Aku” menemui Sensei. “Aku” percaya bahawa dia pernah melihat Sensei tetapi lupa bila dan di mana. Pada keesokan hari, “Aku” bertemu Sensei sekali lagi yang sedang memakai topi jerami. “Aku” berasa hampa kerana tidak berpeluang untuk bersapa dengan Sensei.
Persahabatan “Aku” dengan Sensei bermula apabila “Aku” mengekori Sensei berenang di laut dan Sensei telah mengajaknya pulang. “Aku” menggambarkan Sensei sebagai seorang yang dingin dan tidak peramah. Sungguhpun begitu, “Aku” faham akan sebab Sensei bersikap sedemikian setelah beliau meninggal dunia.
Sekembalinya ke Tokyo, “Aku” telah pergi melawat Sensei di rumahnya. Setibanya di rumah Sensei, “Aku” telah disambut oleh isteri Sensei Shizu dan isterinya memberitahu bahawa Sensei melawat kubur rakannya di tanah perkuburan Zoshigaya. Lantas, “Aku” ke tempat tersebut untuk menemui Sensei. Semenjak itu, “Aku” lebih kerap mengunjungi Sensei sehingga menimbulkan pertanyaan dalam diri Sensei untuk bertanyakan “Aku” bahawa mengapa “Aku” menghabiskan begitu banyak masa bersama-sama seseorang sepertinya. Sensei telah mengakui bahawa beliau dalam kesunyian dan berasa gembira kerana “Aku”dapat mengunjunginya. 
  Pada suatu hari, musim bunga, “Aku” dan Sensei telah ke Ueno. Sensei telah mengatakan kepada “Aku” bahawa dalam percintaan ada perasaan bersalah. Beliau juga berpendapat bahawa persahabatan yang dijalinkan di antara “Aku” dengan beliau sebenarnya  persiapan sebelum watak aku menagih kasih daripada seorang wanita. Persoalan yang memuncak dalam diri “Aku” diredakan sedikit dengan penjelasan daripada Shizu apabila “Aku” berpeluang sekali lagi untuk berbual-bual dengan Shizu. Shizu menyatakan Sensei akan berasa lebih dukacita dan dialah satu-satunya yang mampu memberi kebahagiaan kepada Sensei. Sungguhpun begitu, Shizu tetap ragu sama ada Sensei turut membenci dirinya sendiri ataupun tidak. Menurut Shizu, Sensei membenci dunia ini dan secara tidak langsung beliau juga dibenci kerana dianggap sebahagian daripada makhluk dunia ini. Shizu tidak dapat menerangkan punca mengapa Sensei berubah menjadi sedemikian. Namun, Shizu berpendapat mungkin kematian sahabat Sensei telah membawa kepada perubahan sikap Sensei kerana Sensei telah berubah secara beransur-ansur semenjak kematian sahabat beliau.
Pada musim sejuk, “Aku” terpakasa pulang ke kampung setelah mendapat sepucuk surat daripada ibunya yang menyatakan bahawa sakit ayahnya semakin tenat. Ayahnya menghidap penyakit buah pinggang dan telah pengsan semasa bekerja di halaman rumah. Pada mulanya, “Aku” bercadang untuk menunggu sampai hujung penggal tetapi “Aku” mulai rasa bimbang lalu memutuskan untuk pulang ke kampung dengan segera. Memandangkan “Aku” tidak mempunyai wang yang cukup untuk tambang kereta api, watak “Aku” telah meminjam wang daripada Sensei.
Sekembalinya “Aku” ke Tokyo, “Aku” terus ke rumah Sensei untuk membayar kembali wang yang dipinjam. Perbualan mereka berkisah tentang penyakit buah pinggang ayah “Aku” serta manusia yang merupakan makhluk yang tidak berupaya, sama ada mereka sihat atau sebaliknya dan tiada siapa boleh menentukan bagaimana atau di mana dia akan mati. Sensei juga menyatakan ada orang yang mati dengan aman dan ada juga yang mati dengan kekejaman yang luar biasa. Yang dimaksudkan kekejaman luar biasa itu adalah bunuh diri.
Pada suatu hari, Sensei telah memberi pendapat kepada watak “Aku” agar menentukan pembahagian harta pusaka dilakukan sekarang.Sensei mengatakan jiak seseorang mati dengan mengejut, harta pusakanya menjadi punca masalah. Sensei juga menolak pendapat watak “Aku” yang menyatakan orang-orang kampung adalah baik belaka sebaliknya orang kampung selalunya lebih jahat daripada orang kota. Sebagai manusia sensei menyatakan bahawa kita perlulah sentiasa berhati-hati keraan semua orang boleh berubah dalam sekelip mata. Semua ini berlaku pada Sensei yang terpedaya dengan bapa saudaranya sendiri sehingga Sensei tidak mampu memiliki harta ayah kandungnya sendiri. Hal ini telah menjadikan Sensei seorang yang pendendam. 
Pada malam penyampaian ijazah “Aku”, “Aku” telah pergi ke rumah Sensei untuk makan malam. Dalam situasi ini, sensei telah mengutarakan soalan siapa yang akan mati dahulu di antara Sensei dan isterinya. Selang beberapa hari, “Aku” mengambil keputusan untuk pulang ke kampng. “Aku” merasakan tidak dapat berbuat apa-apa sedangkan ayahnya sedang menunggu kedatangan maut. Pada masa itu, “Aku” benar-benar dapat merasai perasaan seseorang yang tidak berdaya untuk berbuat sesuatu dalam menangani masalah itu.

Khamis, 10 Mac 2016

Warkah dari Labohan Dagang

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sehati sejiwa. Inginku coretkan luahan hati aku setelah hampir dua tahun berada di kuliah ini. Dahulunya, aku cinta akan tempat ini sebagai pusat untuk menimba ilmu pengetahuan selain dapat mengenal bakal-bakal profesional dari seluruh tanah air yang dikumpulkan di kuliah ini. Setiap warga kuliah ini adalah manusia-manusia yang hebat belaka. Ada yang petah berhujah di khayalak ramai dalam bahasa penjajah, ada yang cerdik dalam menyelesaikan masalah-masalah rumit dalam ilmu kira-kira, ada yang hebat membuat hasil seni yang amat menakjubkan, ada yang cekap memainkan alatan musik yang menhasilkan irama merdu bermelodi dan sebagainya.
          Mulanya, aku bersyukur kerana dapat bergaul dengan mereka yang hebat ini. Kebanyakan mereka pandai menyusun kata dan menyimpan janji-janji manis dalam menjalinkan hubungan persahabatan denganku. Aku termakan sikap yang ditunjukkan mereka selama ini dan amat berharap agar kami semua dapat berjaya dalam program di kuliah ini. Walaupunku tahu, diriku seumpama sebatang pohon yang tidak berbuah. Namun, aku tetap akan berusaha mengeluarkan hasil yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain.
          Sepanjang hayatku di kuliah ini, aku memayungi rakan-rakan yang ditimpa musibah dan ujian dalam hidupnya sebagai seorang pelajar. Aku empati terhadap diri mereka dan cuba untuk menyelami keadaan mereka yang dalam kesempitan. Ada dalam kalangan mereka yang putus cinta, ada yang mempunyai masalah kawan, ada yang dihina, ada yang dizalimi dan ada yang hampir berputus asa dalam perjuangan menamatkan program di kuliah ini. Rintihan demi rintihanku dengari dan aku juga dapat merasakan tempias seperti air hujan.
          Adakah dunia ini tidak adil? Mengapakah Allah S.W.T. harus memberi ujian seteruk itu kepada mereka? Apakah salah mereka? Jawabannya telah pun aku temui setibanya di Semester 3. Aku ditimpa ujian yang berat. Amat berat. Aku dihina. Aku dizalimi. Aku ditinggalkan oleh rakan-rakan karibku yang dahulunya kami telah berjanji setia untuk bersama-sama meneruskan perjuangan. Ketika ini aku hanya dapat mendengar apa kata orang terhadap diri aku. Ada yang kata aku ini mengambil kesempatan. Mengelat. Sukar untuk dipercayai. Salah pilih kawan dan sebagainya.
          Aku sedih! Kenapa aku ditinggalkan dalam keadaan sebegini? Apa salahku? Masa ini aku kenal apa maksud kawan dan sabahat. Barulah aku tahu siapakah kawan dan siapakah yang menodai aku. Aku amat kesal kerana orang yang dahulunya aku percaya telah mendustai aku. Aku sedih kerana mereka yang menggelarkan dirinya 'sahabat' dahulu telah melupakan aku setelah ditimpa ujian yang amat besar.
          Kini, perjalanan dua tahun di sini bakal menutup tirai dan aku telah pun jumpa teman sejati aku yang ada di sisiku. Aku amat bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dapat aku ketemukan dengan mereka walaupun kami semua berlainan kelas. Persahabatan kami ini tidak mengira latar belakang kerana kami semua sama dan bersatu untuk berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Tiap hariku berdoa kepada Allah S.W.T. moga persahabatan kami ini akan berkekalan sehingga ke syurga nanti. In sha Allah...