Isnin, 21 April 2014

Destinasi Kehidupan

Assalamualaikum, salam sejahera kepada semua pembaca blog saya. Akan saya kongsikan pengetahuan saya tentang tajuk ini. Kebiasaannya masyarakat Melayu di negara kita masih belum berfikiran terbuka. Mengapa saya kata begitu? Ini kerana, melalui pengalaman seorang hamba Allah ini yang sudi berkongsi kepada saya.
     Kisahnya bermula selepas beliau menduduki peperiksaan awam di Malaysia iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau telah mengambil sebelas matapelajaran dan berada dalam aliran Sains Tulen Agama. Beliau bersekolah di salah sebuah sekolah agama yang terletak di Semenanjung Malaysia. Cita-citanya ialah menjadi seorang doktor pakar dan ingin melanjutkan pelajaran di luar negara. Selepas menamatkan peperiksaan ini, beliau bekerja sambilan di sebuah kedai makan milik bapa saudaranya di Seremban bagi mengisi masa lapangnya sementara menunggu keputusan SPM. Tujuan utama saudara kita ini bekerja di sana adalah semata-mata mencari pengalaman dalam bidang perniagaan sedangkan bapanya sendiri memiliki kedai di sekitar rumahnya di Kulim. Beliau sanggup berhijrah ke Seremban dan tinggal sementara di rumah bapa saudaranya.
     Selepas lebih kurang tiga bulan beliau bekerja dengan bapa saudaranya, tibalah masa beliau pulang ke sekolah untuk menerima slip keputusan SPM. Setibanya di sekolah, beliau sempat lagi bertemu sahabat-sahabat seperjuangannya yang sudah tiga bulan terpisah dan mereka berkongsi pengalaman tentang apa yang mereka lakukan sementara menunggu keputusan SPM ini. Ada yang bekerja sambilan seperti beliau, ada yang menghadirkan diri ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebagainya. Suasana di sana amatlah seronok kerana pelbagai cerita dapat dikongsikan sebelum pengumuman keputusan SPM.
     Pada jam sebelas pagi, semua calon SPM yang bakal menerima keputusan masuk ke dalam dewan besar untuk mengambil slip keputusan. Banyak sahabat beliau mendapat keputusan yang cemerlang. Mereka bersyukur dan gembira. Ada yang selama ini keputusan peperiksaannya tidak memuaskan kini mendapat keputusan yang cemerlang. Malang nasib saudara kita ini, beliau hanya mendapat keputusan kepujian (cukup-cukup makan). Walaupun sedih, namun beliau tetap bersyukur atas keputusan yang diterima. Sahabat-sahabat beliau semuanya bertanyakan keputusan beliau. Namun, beliau malu dan cuba mengelakkan diri lalu pulang ke rumahnya dengan segera.
     Dalam perjalanan ke rumahnya, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada sanak saudaranya. Semuanya bertanyakan soalan yang sama. "Awak dapat berapa?", "Awak tak ada harapan nak jadi doktor," dan ada yang cakap, "Baik awak kerja dengan pak cik awak yang dekat Seremban tu jelah,". Sahabat kita ini seolah-olah mahu mengurungkan dirinya di dalam bilik dan tidak mahu keluar ke mana-mana. Beliau amat sedih dan malu sedangkan ketika beliau belajar di sekolah, beliau telah bersungguh-sungguh menjawab peperiksaan dan yakin dengan jawapan yang diberinya sebelum ini.
     Setibanya di rumah, ibubapa beliaulah yang menjadi tempat untuk menenangkan perasaan. Mereka memberi sokongan dan tidak sesekali mematahkan harapan sahabat kita ini. "Masih ada harapan untuk jadi doktor pakar yang telah menjadi cita-citamu sejak kecil lagi. SPM ini bukan penentu hidupmu. SPM ini baru permulaan bagi hidupmu,". Sejak dari hari itu, sahabat ini bertekad untuk mencapai cita-citanya demi agama, bangsa dan tanah air.
     Selang beberapa bulan, beliau ditawarkan untuk menyambung pelajaran di matrikulasi. Beliau kemudiannya belajar sehingga berjaya mencapai CGPA 4.0 dan layak untuk menerima biasiswa lalu melanjutkan pengajiannya di sebuah negara yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi, iaitu Ireland. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun menyambung pengajiannya di sana, beliau dapat menyesuaikan diri dan boleh bertutur dalam bahasa Irish. Apatah lagi bahasa Inggeris. Namun, setelah hampir empat tahun di Ireland, beliau masih belum menemui seorang sahabat sekolah lama beliau yang keputusannya lebih cemerlang dalam SPM.
     Setelah berjaya menamatkan pengajian di sana, beliau pun pulang ke Malaysia dan menerima tawaan kerja di hospital kerajaan di utara Semenanjung Malaysia. Ketika bekerja di sana, dengan izin Allah S.W.T., beliau terserempak dengan salah seorang pesakit yang amat kurus dan sedang menggigil kesejukan. Beliau teragak-agak untuk berbual dengan pesakit muda tersebut kerana melihat raut wajah pesakit itu mirip sahabatnya di sekolah yang cemerlang dalam SPM. Beliau pun perlahan-perlahan mendekati pesakit tersebut dan bertegur dengan sopan. Pada mulanya, pesakit itu malu untuk berbual dengan beliau. Akan tetapi setelah beliau memberi kata-kata semangat kepadanya, pesakit tersebut pun boleh berbual dengannya. Memang tak salah orang sebab pesakit itu sendiri mengetahui nama beliau.
     Tiba-tiba pesakit tersebut menangis dan memeluk beliau setelah mengeahui bahawa mereka adalah sahabat seperjuangan dalam SPM. Pesakit itu menceritakan liku-liku kehidupannya sejak hari keputusan tersebut sehingga dia terbaring di atas katil hospital ini. Beliau tidak sanggup menceritakan perkara ini kepada saya sebab perkara ini aib lagi amatlah sedih. Ceritanya selepas mendapat keputusan, dia ditawarkan untuk belajar di luar negara dan perlu membuat persediaan di sebuah kolej di sekitar Lembah Klang. Ketika di kolej tersebut, prestasi akademiknya amat merundum disebabkan pengaruh rakan sebilik. Dia kemudiannya dibuang dari kolej tersebut dan menjadi penganggur. Dia sampai sekarang tidak pulang ke rumah sebab malu kepada keluarganya sehingga mereka dimaklumkan oleh pihak hospital. Dia bekerja sebagai pelayan tetamu di sebuah restoran di pinggir bandar yang termahal di Malaysia. Sambil bekerja sebagai pelayan tetamu, dia dirosakkan oleh dadah. Amat menyedihkan apabila dia menceritakan kepada beliau kerana keadaannya ketika itu amatlah teruk. Beliau bersyukur sebab dapat juga bertemu dengan beliau.
     Jadi, sebagai konklusi kepada sahabat-sahabat pembaca blog sekalian, jika kita gagal dalam sesuatu perkara bukan bermakna kita gagal dalam kehidupan. Hal ini kerana, hidup kita umpama roda yang di mana kita akan rasa susah dan senang. Jika kita gagal, jangan sesekali kita putus harapan untuk mencapai cita-cita. Sering berusaha bersungguh-sungguh kerana Islam mengajar kita supaya berusaha bersungguh-sungguh. Memang benar kita sebagai manusia sering merancang sesuatu perkara namun Allah S.W.T. yang menentukan bahawa perkara tersebut jadi atau disebaliknya. Jika kita menerima kesusahan, anggaplah bahawa kesusahan itu merupakan ujian daripada Allah S.W.T. kerana Allah S.W.T. sering menguji orang yang beriman. Lagi kuat iman seorang itu, lagi beratlah ujian yang ditempuhinya. Baiklah, sekian sahaja daripada saya. Wassalam.