Selasa, 22 September 2015

Perjalanan Tanpa Noktah

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera. Setelah setahun setengah berada di Kolej MARA Banting, ingin saya kongsikan sedikit mengenai aktiviti yang saya lakukan demi mengisi masa lapang pada waktu petang selain menuntut ilmu dalam Diploma IB (International Baccalaureate). Sebelum itu, ingin saya bahasakan diri 'aku' supaya mudah untuk saya ceritakan pengalaman saya ini.
          Setelah setahun setengah aku berada di dunia IB, kini aku berada di Semester 3. Setahu aku, semester ini penuh dengan rintangan dan cabaran sebab budak-budak KMB selama ini mengatakan bahawa semester tiga ini adalah semester yang amat perit dalam IB. Penuh dengan tugasan yang diberikan, kerja kursus, presentation, discussion dan sebagainya. Sememangnya amatlah sibuk bagiku untuk menghadapi segala rintangan ini namun aku telah mencari jalan alternatif untuk aku release stress selain berjumpa kawan-kawan dan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.. Aku memilih untuk turun beriadah pada waktu petang selepas solat Asar dan membaca Al-Ma'thurat berjemaah di Surau An-Nur.
          Sebenarnya, aku kerap juga beriadah pada waktu petang sebab aku tahu riadah adalah perkara yang mesti aku lakukan sebagai seorang Muslim yang sihat dan bertenaga. Hal ini kerana, ada pepatah Arab mengatakan bahawa (العَقْلُ السَّلِيْمُ فيِ الجِسِْم السَّلِيْمِ) 'akal yang sihat datang daripada badan yang sihat'. Biasanya budak-budak KMB yang lelaki sering beriadah di padang. Ada yang bermain bola sepak, bola tampar, bola keranjang, sepak takraw, futsal, squasy, ping pong, workout di gimnasium kolej dan ada yang berjoging di trek joging. Akan tetapi, aku suka main pétanque.
          Aku tak main sukan lain ke? Eh, main jugak tapi jarang kali. Biasanya, aku main pétanque dan kadang kala aku berjoging untuk membina stamina dan kekuatan pada kaki aku. Kisah aku dengan pétanque ini bermula di bangku sekolah menengah atas. Ketika itu aku berada di Tingkatan 5 di mana pada tahun tersebut aku menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Masa itu aku cenderung untuk bermain hoki. Hal ini kerana, aku sebenarnya minat sangat untuk main hoki sejak sekolah rendah akan tetapi masa itu aku tidak mempunyai masa yang mencukupi dek kesibukan ayah aku dan ketika di sekolah menengah rendah pula sekolah aku tidak ada hoki.
          Jadinya, aku mengambil peluang keemasan ini untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah dan kebangsaan selain mengasah bakatku dalam sukan yang aku minati ini. Malangnya, aku ditimpa kemalangan ketika perlawanan persahabatan dengan sekolah projek hoki Klang betul-betul sebelum pertandingan hoki peringkat kebangsaan HK SBP. Aku dipukul oleh pemain lawan dengan kayu hoki pada kepala aku. Aku terus dikejarkan ke hospital dan menerima 12 jahitan pada luka yang amat dalam dan besar itu.
          Oleh itu, aku tidak boleh menyertai mana-mana sukan kecuali pétanque. Sejak peristiwa inilah aku mula jatuh cinta pada pétanque. Namun, disebabkan SPM semakin menghampiri, aku terpaksa melupakan dia dan cintaku terus terpendam di hati aku sehinggalah aku masuk KMB. Aku masih ingat ketika minggu orientasi, sukan yang pertama aku cari ialah pétanque. Akhirnya aku baru tahu ketika itu bahawa Kelab Pétanque baru sahaja ditubuhkan oleh seniorku.
          Sepanjang Semester 1 aku aktif bermain pétanque walaupun aku tidak ada skill. Pada masa tersebut aku hanya tahu asas bermain pétanque dan setiap petang aku sering turun bermain seorang diri. Dah lah main setiap petang sehinggalah aku boleh cipta pantun mengenai pétanque (pantun tak jadi).

Petang-petang main pétanque,
Bola karat...

          Kawan-kawan aku sering mengajak aku bermain sukan lain namun aku menolaknya kerana aku lebih suka bermain pétanque (acah-acah pétanque di hati). Sehinggalah aku bertemu sahabat yang baru masuk KMB (second intake) di gelanggang pétanque.
          Sejak itulah hubungan persahabatan kami semakin akrab dan kami rajin turun main pétanque pada waktu petang (biasalah sebab kami Semester 1 masa itu) kerana kami tidak sesibuk sekarang ini. Aku kerap main pétanque sehinggalah aku ditawarkan untuk mewakili kolej ke Karnival Sukan Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA (KASUKMA) (peringkat kebangsaan). Aku tahu ini merupakan tawaran yang istimewa untuk aku mencari pengalaman. Jadi, aku pun menyertai lamaran tersebut dan pergi ke KASUKMA yang diadakan di Kolej MARA Kuala Nerang.
          Di situlah aku baru buka mata dan mengenali dengan lebih mendalam apa itu pétanque. Kenapa pula? Aku baru tahu macam mana orang main pétanque, keadaaan gelanggang yang sebenar dan peraturan bermain pétanque serta ethics ketika bermain pétanque. Punyalah latihan banyak aku dah buat kat KMB menjadi sia-sia sebab gelanggang pétanque di KMB adalah gelanggang batu-batu yang banyak dan kalau dibaling bola besi pétanque akan tertimbus. Kalau gelanggang yang baik, dibaling bola besi pétanque akan bergolek-golek di atasnya. Hasilnya, aku MENANGgung kekalahan dek budak baru main pétanque.
          Biasanya orang selalu kata kalau join aktiviti yang melibatkan kolej-kolej lain kita bukan saja fokus kepada apa yang kita lakukan (bermain sukan) namun ada juga agenda tersembunyi di sebalik temasya tersebut. Alhamdulillah, ketika KASUKMA 2014 diadakan, aku bertemu sahabat-sahabat dari bangku sekolah menengah yang pada ketika itu menuntut pengajian di IPMa yang berbeza. Ada yang menuntut di Kolej MARA Kuala Nerang, Kolej MARA Kulim, Kolej MARA Seremban dan MARA Ketengah International College (MKIC). Kiranya pada masa itu kami sempat lagi buat reunion Alumni KISAS (ALKIS).
ALKIS di KASUKMA 2014.
          Habis sahaja KASUKMA, aku terus berlatih di gelanggang yang tidak standard walaupun aku melaporkan perkara tersebut kepada guru penasihat pétanque. Latihan yang aku lakukan selama ini semakin lama semakin berkurangan kerana kesibukan yang ada kian bertambah dan menggunung, Akan tetapi, aku masih mencuba untuk meluahkan masa bersama kekasih aku ini. Naik Semester 2, aku mula sibuk dengan segala aktiviti kolej dan IB. Aku tetap turun bermain pétanque namun hanya sekali dua setiap minggu kerana kesetiaan aku kepada sukan ini.
          Sehinggalah Semester 3 ini, aku dimaklumkan bahawa tahun ini akan diadakan lagi KASUKMA di Kolej Profesional MARA Beranang. Jadinya, aku pun rajin-rajinlah turun latihan bersama sahabat aku setiap petang. Untuk tahun ini, acara pétanque ditawarkan 5 pingat iaitu 5 acara. Jadi, aku bertekad untuk memenangi salah satu daripada acara tersebut. Walaupun kami tidak ada jurulatih dan keadaan gelanggang yang masih teruk. Aku tidak kisah, janji aku dapat memenangi acara pétanque. Biasalah ada keyakinan yang benar-benar mantap.
          Pada suatu hari, ketika aku sibuk berlatih bersama sahabat aku ini. Tiba-tiba datang dua orang pelajar junior perempuan yang tidak aku kenali siapa mereka ini. Mereka tidak bermain pétanque akan tetapi memerhatikan kami sedangkan mereka membawa set pétanque. Kebetulan pada masa yang sama datang presiden kelab pétanque kolej kami dan 'adik' (seorang junior perempuan) ini pun complain bermacam-macam tentang gelanggang pétanque kolej.
          Aku dan sahabatku ini berlatih tanpa menghiraukan apa yang dibualkan oleh mereka bertiga. Tiba-tiba, 'adik' ini pun menegur cara kami baling dan dia mengajar cara serta teknik sebenarnya untuk membaling. Sejak itulah, kami berdua menggelarnya 'sifu'. Bila interview sifu, kami mendapati bahawa dia merupakan calon SUKMA negeri Selangor! Wah, kami amatlah gembira kerana dialah merupakan jurulatih kami. Sepanjang perjalanan kami ke KASUKMA 2015, kami (saya dan sahabat saya + junior lelaki + dua orang pelajar perempuan (seorang batch kami dan seorang lagi junior) + sifu (junior perempuan) berlatih bersama-sama. Kami cuba berbagai latihan seperti menggunakan tayar untuk memantapkan fokus terhadap balingan kami ke drop point dan shooting practise di mana kami menyusun tiga biji bola besi dan kami melontarkan bola besi lain ke arah bola besi yang tersusun itu.
          Kami berlatih bersama selama dua minggu sebelum mulanya KASUKMA. Kami tetap berlatih walaupun jerebu melanda di kawasan kami, Banting sehingga tahap jingga. Memang seronok apabila mengenangkan peristiwa tersebut. Siang dan malam saya dan sahabat saya berlatih di gelanggang pétanque itu. Sehinggalah kami ke Beranang, kami mendapati bahawa gelanggang di sana amat berbeza dengan kolej kami bahkan sama dengan Kuala Nerang.
          Perlawanan amatlah sengit dan bermacam-macam drama dipaparkan oleh kami di sana di samping dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang baru. Menang dan kalah itu adat pertandingan namun yang paling berharga ialah pengalaman yang aku dapati. Sifu amatlah function bahkan menjadi exponential function ketika KASUKMA. Alhamdulillah, kami perolehi pingat gangsa dalam acara pétanque beregu wanita. Walaupun aku tidak mencapai apa yang aku mahukan, akan tetapi aku rasa amat bersyukur apabila kami akhirnya mendapat pingat sebagai sumbangan kepada KMB (tengoklah siapa yang dapatkan, sifu kot).
Pasukan pétanque Kolej MARA Banting KASUKMA 2015.
          Selepas tamatnya acara pétanque, aku pun bertemu dengan sahabat-sahabat kolej lain untuk benchmarking seperti KMS dan MKIC. Kami berborak dari lepas solat Isya' sehingga jam dua pagi. Aku rasa inilah sesi borak yang paling lama aku alami. Dan akhirnya, KASUKMA 2015 melabuhkan tirai dan aku sekali lagi bertemu dengan sahabat-sahabat ALKIS. Seolah-olah kami buat reunion di tempat orang. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Sebab itu pun kami tidak merancang pertemuan kami di KPM Beranang. Sememangnya berbagai kisah kami kongsikan. Aku tidak akan melupakan pengalaman ini sampai bila-bila.
ALKIS di KASUKMA 2015.
          Usai bergambar bagai, kami semua pulang ke kolej sempena cuti penggal separuh semester dan Hari Raya Aidiladha. Setibanya di rumahku, aku masih tergila-gilakan pétanque. Terima kasih ku ucapkan kepada sahabat-sahabat pétanque yang sama-sama berjuang terutama sekali sahabatku dan sifu! Dengan peristiwa inilah aku terus mencintai pétanque dan aku bertekad untuk membeli set baharu tahun hadapan selepas habis IB! Aku bertekad untuk memasuki pertandingan terbuka yang akan diadakan selepas IB ini! Oleh itu, perjalananku untuk pétanque ini bakal berterusan sehingga akhir hayat! In sha Allah! Wallahualam dan wassalam.