Selasa, 8 Disember 2015

Jalan Jalan Cari Makan (Kluang)

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Beberapa hari yang lepas saya telah berkesempatan untuk merayap di pusat bandar Kluang dan berhasrat untuk merasa makanan istimewa di kawasan tersebut. Sebagaimana kita tahu, Kluang amat terkenal dengan Kluang Rail Coffee atau bahasa Melayunya ialah Kopi Stesen Kluang. Bukan itu sahaja yang istimewa dari daerah yang terletak di tengah-tengah negeri Harimau Selatan ini, malah terdapat beberapa kedai makan lain yang akan saya kongsikan dalam post ini!
Roti kawin dan kopi.
          Pertama sekali, jika anda menaiki kereta api dan berhenti di Stesen Kluang, anda mesti singgah dahulu di Kluang Rail Coffee ini dan menu istimewa yang disediakan ialah Kopi dan Roti Kawin (kaya & mentega). Harganya murah-murah belaka. Hanya RM 1.70 untuk secawan kopi dan RM 1.50 untuk sepiring roti. Anda akan merasai suasana di dalam kesibukan di stesen kerana kedai kopi tersebut terletak betul-betul di sebelah ruangan menunggu kereta api stesen Kluang. Di samping itu, terdapat juga menu-menu selain roti kahwin yang anda boleh pesan selain dapat melihat perabot-perabot lama yang terdapat di sana. Untuk pengetahuan kedai kopi ini telah mula beroperasi sejak tahun 1938.
Nasi daun pisang lauk kari kambing.
          Selepas bersarapan, bersiar-siarlah di kawasan berdekatan dengan stesen, iaitu Jalan Stesen. Lebih dikenali sebagai Little India. Di kawasan ini, anda boleh memborong rempah ratus, bunga-bunga yang dijual oleh masyarakat India yang menetap di kawasan itu. Cukup indah apabila anda dapat melihat keadaan kawasan yang sibuk dengan pemerdagangan barang-barang keperluan yang diuruskan oleh bangsa India. Usai matahari menegak, masuk ke Restoran NSM untuk menikmati masakan asli India yang akan dihidangkan oleh pelayan di atas daun pisang! Cukup menarik! Saya menempah nasi berlauk kambing dan pelayan berbangsa India tersebut menghidangkan nasi putih, sayur-sayuran, kari kambing dan dalca. Hanya dengan modal kurang daripada RM 10.00, anda pasti akan dilayan seperti seorang boss. Inilah restoran India yang unik dari segi layanan terhadap pelanggan. Selain daripada nasi daun pisang, anda boleh mencuba makanan India yang lain seperti roti canai, capatti, tosai dan sebagainya. Harga untuk makanan di sana cukup berpatutan!
Cendol biasa.
          Usai solat Zohor di Masjid Jamek Kluang, ambil masa anda untuk berjalan kaki ke Kluang Mall yang terletak di Jalan Rambutan. Kompleks beli-belah ini lengkap dengan pelbagai kedai dan restoran serta sebuah pasaraya yang besar. Bagi saya, ini merupakan sebuah kemajuan yang tercapai setelah bertahun lama tinggalkan bandar ini. Di pusat bandar Kluang terdapat tiga kompleks beli-belah antaranya, Kluang Mall, Kluang Parade dan BCB. Malangnya, BCB yang lebih kurang sama dengan Plaza Lowyat telah tutup sekian lama. Sebelum pulang, eloklah jika kita singgah di gerai Cendol Kader di Jalan Dato Kapten Ahmad. Semangkuk cendol berharga RM 1.50 dapat menghilangkan dahaga anda setelah puas berjalan kaki di bandar Kluang.