Selasa, 8 Disember 2015

Jalan Jalan Cari Makan (Kluang)

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Beberapa hari yang lepas saya telah berkesempatan untuk merayap di pusat bandar Kluang dan berhasrat untuk merasa makanan istimewa di kawasan tersebut. Sebagaimana kita tahu, Kluang amat terkenal dengan Kluang Rail Coffee atau bahasa Melayunya ialah Kopi Stesen Kluang. Bukan itu sahaja yang istimewa dari daerah yang terletak di tengah-tengah negeri Harimau Selatan ini, malah terdapat beberapa kedai makan lain yang akan saya kongsikan dalam post ini!
Roti kawin dan kopi.
          Pertama sekali, jika anda menaiki kereta api dan berhenti di Stesen Kluang, anda mesti singgah dahulu di Kluang Rail Coffee ini dan menu istimewa yang disediakan ialah Kopi dan Roti Kawin (kaya & mentega). Harganya murah-murah belaka. Hanya RM 1.70 untuk secawan kopi dan RM 1.50 untuk sepiring roti. Anda akan merasai suasana di dalam kesibukan di stesen kerana kedai kopi tersebut terletak betul-betul di sebelah ruangan menunggu kereta api stesen Kluang. Di samping itu, terdapat juga menu-menu selain roti kahwin yang anda boleh pesan selain dapat melihat perabot-perabot lama yang terdapat di sana. Untuk pengetahuan kedai kopi ini telah mula beroperasi sejak tahun 1938.
Nasi daun pisang lauk kari kambing.
          Selepas bersarapan, bersiar-siarlah di kawasan berdekatan dengan stesen, iaitu Jalan Stesen. Lebih dikenali sebagai Little India. Di kawasan ini, anda boleh memborong rempah ratus, bunga-bunga yang dijual oleh masyarakat India yang menetap di kawasan itu. Cukup indah apabila anda dapat melihat keadaan kawasan yang sibuk dengan pemerdagangan barang-barang keperluan yang diuruskan oleh bangsa India. Usai matahari menegak, masuk ke Restoran NSM untuk menikmati masakan asli India yang akan dihidangkan oleh pelayan di atas daun pisang! Cukup menarik! Saya menempah nasi berlauk kambing dan pelayan berbangsa India tersebut menghidangkan nasi putih, sayur-sayuran, kari kambing dan dalca. Hanya dengan modal kurang daripada RM 10.00, anda pasti akan dilayan seperti seorang boss. Inilah restoran India yang unik dari segi layanan terhadap pelanggan. Selain daripada nasi daun pisang, anda boleh mencuba makanan India yang lain seperti roti canai, capatti, tosai dan sebagainya. Harga untuk makanan di sana cukup berpatutan!
Cendol biasa.
          Usai solat Zohor di Masjid Jamek Kluang, ambil masa anda untuk berjalan kaki ke Kluang Mall yang terletak di Jalan Rambutan. Kompleks beli-belah ini lengkap dengan pelbagai kedai dan restoran serta sebuah pasaraya yang besar. Bagi saya, ini merupakan sebuah kemajuan yang tercapai setelah bertahun lama tinggalkan bandar ini. Di pusat bandar Kluang terdapat tiga kompleks beli-belah antaranya, Kluang Mall, Kluang Parade dan BCB. Malangnya, BCB yang lebih kurang sama dengan Plaza Lowyat telah tutup sekian lama. Sebelum pulang, eloklah jika kita singgah di gerai Cendol Kader di Jalan Dato Kapten Ahmad. Semangkuk cendol berharga RM 1.50 dapat menghilangkan dahaga anda setelah puas berjalan kaki di bandar Kluang.

Selasa, 22 September 2015

Perjalanan Tanpa Noktah

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera. Setelah setahun setengah berada di Kolej MARA Banting, ingin saya kongsikan sedikit mengenai aktiviti yang saya lakukan demi mengisi masa lapang pada waktu petang selain menuntut ilmu dalam Diploma IB (International Baccalaureate). Sebelum itu, ingin saya bahasakan diri 'aku' supaya mudah untuk saya ceritakan pengalaman saya ini.
          Setelah setahun setengah aku berada di dunia IB, kini aku berada di Semester 3. Setahu aku, semester ini penuh dengan rintangan dan cabaran sebab budak-budak KMB selama ini mengatakan bahawa semester tiga ini adalah semester yang amat perit dalam IB. Penuh dengan tugasan yang diberikan, kerja kursus, presentation, discussion dan sebagainya. Sememangnya amatlah sibuk bagiku untuk menghadapi segala rintangan ini namun aku telah mencari jalan alternatif untuk aku release stress selain berjumpa kawan-kawan dan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.. Aku memilih untuk turun beriadah pada waktu petang selepas solat Asar dan membaca Al-Ma'thurat berjemaah di Surau An-Nur.
          Sebenarnya, aku kerap juga beriadah pada waktu petang sebab aku tahu riadah adalah perkara yang mesti aku lakukan sebagai seorang Muslim yang sihat dan bertenaga. Hal ini kerana, ada pepatah Arab mengatakan bahawa (العَقْلُ السَّلِيْمُ فيِ الجِسِْم السَّلِيْمِ) 'akal yang sihat datang daripada badan yang sihat'. Biasanya budak-budak KMB yang lelaki sering beriadah di padang. Ada yang bermain bola sepak, bola tampar, bola keranjang, sepak takraw, futsal, squasy, ping pong, workout di gimnasium kolej dan ada yang berjoging di trek joging. Akan tetapi, aku suka main pétanque.
          Aku tak main sukan lain ke? Eh, main jugak tapi jarang kali. Biasanya, aku main pétanque dan kadang kala aku berjoging untuk membina stamina dan kekuatan pada kaki aku. Kisah aku dengan pétanque ini bermula di bangku sekolah menengah atas. Ketika itu aku berada di Tingkatan 5 di mana pada tahun tersebut aku menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Masa itu aku cenderung untuk bermain hoki. Hal ini kerana, aku sebenarnya minat sangat untuk main hoki sejak sekolah rendah akan tetapi masa itu aku tidak mempunyai masa yang mencukupi dek kesibukan ayah aku dan ketika di sekolah menengah rendah pula sekolah aku tidak ada hoki.
          Jadinya, aku mengambil peluang keemasan ini untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah dan kebangsaan selain mengasah bakatku dalam sukan yang aku minati ini. Malangnya, aku ditimpa kemalangan ketika perlawanan persahabatan dengan sekolah projek hoki Klang betul-betul sebelum pertandingan hoki peringkat kebangsaan HK SBP. Aku dipukul oleh pemain lawan dengan kayu hoki pada kepala aku. Aku terus dikejarkan ke hospital dan menerima 12 jahitan pada luka yang amat dalam dan besar itu.
          Oleh itu, aku tidak boleh menyertai mana-mana sukan kecuali pétanque. Sejak peristiwa inilah aku mula jatuh cinta pada pétanque. Namun, disebabkan SPM semakin menghampiri, aku terpaksa melupakan dia dan cintaku terus terpendam di hati aku sehinggalah aku masuk KMB. Aku masih ingat ketika minggu orientasi, sukan yang pertama aku cari ialah pétanque. Akhirnya aku baru tahu ketika itu bahawa Kelab Pétanque baru sahaja ditubuhkan oleh seniorku.
          Sepanjang Semester 1 aku aktif bermain pétanque walaupun aku tidak ada skill. Pada masa tersebut aku hanya tahu asas bermain pétanque dan setiap petang aku sering turun bermain seorang diri. Dah lah main setiap petang sehinggalah aku boleh cipta pantun mengenai pétanque (pantun tak jadi).

Petang-petang main pétanque,
Bola karat...

          Kawan-kawan aku sering mengajak aku bermain sukan lain namun aku menolaknya kerana aku lebih suka bermain pétanque (acah-acah pétanque di hati). Sehinggalah aku bertemu sahabat yang baru masuk KMB (second intake) di gelanggang pétanque.
          Sejak itulah hubungan persahabatan kami semakin akrab dan kami rajin turun main pétanque pada waktu petang (biasalah sebab kami Semester 1 masa itu) kerana kami tidak sesibuk sekarang ini. Aku kerap main pétanque sehinggalah aku ditawarkan untuk mewakili kolej ke Karnival Sukan Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA (KASUKMA) (peringkat kebangsaan). Aku tahu ini merupakan tawaran yang istimewa untuk aku mencari pengalaman. Jadi, aku pun menyertai lamaran tersebut dan pergi ke KASUKMA yang diadakan di Kolej MARA Kuala Nerang.
          Di situlah aku baru buka mata dan mengenali dengan lebih mendalam apa itu pétanque. Kenapa pula? Aku baru tahu macam mana orang main pétanque, keadaaan gelanggang yang sebenar dan peraturan bermain pétanque serta ethics ketika bermain pétanque. Punyalah latihan banyak aku dah buat kat KMB menjadi sia-sia sebab gelanggang pétanque di KMB adalah gelanggang batu-batu yang banyak dan kalau dibaling bola besi pétanque akan tertimbus. Kalau gelanggang yang baik, dibaling bola besi pétanque akan bergolek-golek di atasnya. Hasilnya, aku MENANGgung kekalahan dek budak baru main pétanque.
          Biasanya orang selalu kata kalau join aktiviti yang melibatkan kolej-kolej lain kita bukan saja fokus kepada apa yang kita lakukan (bermain sukan) namun ada juga agenda tersembunyi di sebalik temasya tersebut. Alhamdulillah, ketika KASUKMA 2014 diadakan, aku bertemu sahabat-sahabat dari bangku sekolah menengah yang pada ketika itu menuntut pengajian di IPMa yang berbeza. Ada yang menuntut di Kolej MARA Kuala Nerang, Kolej MARA Kulim, Kolej MARA Seremban dan MARA Ketengah International College (MKIC). Kiranya pada masa itu kami sempat lagi buat reunion Alumni KISAS (ALKIS).
ALKIS di KASUKMA 2014.
          Habis sahaja KASUKMA, aku terus berlatih di gelanggang yang tidak standard walaupun aku melaporkan perkara tersebut kepada guru penasihat pétanque. Latihan yang aku lakukan selama ini semakin lama semakin berkurangan kerana kesibukan yang ada kian bertambah dan menggunung, Akan tetapi, aku masih mencuba untuk meluahkan masa bersama kekasih aku ini. Naik Semester 2, aku mula sibuk dengan segala aktiviti kolej dan IB. Aku tetap turun bermain pétanque namun hanya sekali dua setiap minggu kerana kesetiaan aku kepada sukan ini.
          Sehinggalah Semester 3 ini, aku dimaklumkan bahawa tahun ini akan diadakan lagi KASUKMA di Kolej Profesional MARA Beranang. Jadinya, aku pun rajin-rajinlah turun latihan bersama sahabat aku setiap petang. Untuk tahun ini, acara pétanque ditawarkan 5 pingat iaitu 5 acara. Jadi, aku bertekad untuk memenangi salah satu daripada acara tersebut. Walaupun kami tidak ada jurulatih dan keadaan gelanggang yang masih teruk. Aku tidak kisah, janji aku dapat memenangi acara pétanque. Biasalah ada keyakinan yang benar-benar mantap.
          Pada suatu hari, ketika aku sibuk berlatih bersama sahabat aku ini. Tiba-tiba datang dua orang pelajar junior perempuan yang tidak aku kenali siapa mereka ini. Mereka tidak bermain pétanque akan tetapi memerhatikan kami sedangkan mereka membawa set pétanque. Kebetulan pada masa yang sama datang presiden kelab pétanque kolej kami dan 'adik' (seorang junior perempuan) ini pun complain bermacam-macam tentang gelanggang pétanque kolej.
          Aku dan sahabatku ini berlatih tanpa menghiraukan apa yang dibualkan oleh mereka bertiga. Tiba-tiba, 'adik' ini pun menegur cara kami baling dan dia mengajar cara serta teknik sebenarnya untuk membaling. Sejak itulah, kami berdua menggelarnya 'sifu'. Bila interview sifu, kami mendapati bahawa dia merupakan calon SUKMA negeri Selangor! Wah, kami amatlah gembira kerana dialah merupakan jurulatih kami. Sepanjang perjalanan kami ke KASUKMA 2015, kami (saya dan sahabat saya + junior lelaki + dua orang pelajar perempuan (seorang batch kami dan seorang lagi junior) + sifu (junior perempuan) berlatih bersama-sama. Kami cuba berbagai latihan seperti menggunakan tayar untuk memantapkan fokus terhadap balingan kami ke drop point dan shooting practise di mana kami menyusun tiga biji bola besi dan kami melontarkan bola besi lain ke arah bola besi yang tersusun itu.
          Kami berlatih bersama selama dua minggu sebelum mulanya KASUKMA. Kami tetap berlatih walaupun jerebu melanda di kawasan kami, Banting sehingga tahap jingga. Memang seronok apabila mengenangkan peristiwa tersebut. Siang dan malam saya dan sahabat saya berlatih di gelanggang pétanque itu. Sehinggalah kami ke Beranang, kami mendapati bahawa gelanggang di sana amat berbeza dengan kolej kami bahkan sama dengan Kuala Nerang.
          Perlawanan amatlah sengit dan bermacam-macam drama dipaparkan oleh kami di sana di samping dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang baru. Menang dan kalah itu adat pertandingan namun yang paling berharga ialah pengalaman yang aku dapati. Sifu amatlah function bahkan menjadi exponential function ketika KASUKMA. Alhamdulillah, kami perolehi pingat gangsa dalam acara pétanque beregu wanita. Walaupun aku tidak mencapai apa yang aku mahukan, akan tetapi aku rasa amat bersyukur apabila kami akhirnya mendapat pingat sebagai sumbangan kepada KMB (tengoklah siapa yang dapatkan, sifu kot).
Pasukan pétanque Kolej MARA Banting KASUKMA 2015.
          Selepas tamatnya acara pétanque, aku pun bertemu dengan sahabat-sahabat kolej lain untuk benchmarking seperti KMS dan MKIC. Kami berborak dari lepas solat Isya' sehingga jam dua pagi. Aku rasa inilah sesi borak yang paling lama aku alami. Dan akhirnya, KASUKMA 2015 melabuhkan tirai dan aku sekali lagi bertemu dengan sahabat-sahabat ALKIS. Seolah-olah kami buat reunion di tempat orang. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Sebab itu pun kami tidak merancang pertemuan kami di KPM Beranang. Sememangnya berbagai kisah kami kongsikan. Aku tidak akan melupakan pengalaman ini sampai bila-bila.
ALKIS di KASUKMA 2015.
          Usai bergambar bagai, kami semua pulang ke kolej sempena cuti penggal separuh semester dan Hari Raya Aidiladha. Setibanya di rumahku, aku masih tergila-gilakan pétanque. Terima kasih ku ucapkan kepada sahabat-sahabat pétanque yang sama-sama berjuang terutama sekali sahabatku dan sifu! Dengan peristiwa inilah aku terus mencintai pétanque dan aku bertekad untuk membeli set baharu tahun hadapan selepas habis IB! Aku bertekad untuk memasuki pertandingan terbuka yang akan diadakan selepas IB ini! Oleh itu, perjalananku untuk pétanque ini bakal berterusan sehingga akhir hayat! In sha Allah! Wallahualam dan wassalam.

Jumaat, 21 Ogos 2015

Epilog Cinta Dari Banting

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera. Inginku coretkan luahan hatiku tentang sebuah pengalaman yang ku alami dengan nama Allah S.W.T. yang Maha pemurah lagi Maha penyayang. Sebuah kisah yang ku tulis berdasarkan pengalaman dan pengetahuan daripada seseorang hamba Allah S.W.T. yang ku kenali di sebuah institusi pengajian yang terletak di Selatan Selangor.
          Ku kenali sahabatku ini sejak awal penggal semester satu di mana beliau amatlah menarik minatku untuk bersahabat dengannya. Berbeza dengan rakan-rakanku sekelas dan juga se'batch', beliau mulanya merupakan seorang periang dan menyerlah di kelasnya. Setiap pagi, beliau selalu datang awal ke kelas untuk menyapu sampah dan memadam papan putih.
          Sering kali ku menyapa beliau rajin dan memberi harapan agar beliau menjadi seorang suami yang mithali suatu hari nanti. Kelakar, namun itulah doaku padanya. Setiap kali guru memasuki kelas, beliau akan membuka pintu dan memberikan laluan kepada guru dan sering bertanyakan khabar kepada guru sehinggakan ada gurunya memarahinya kerana sering bertanyakan soalan yang sama.
          Usai kelas tamat, beliau akan membuka pintu kepada guru untuk keluar dan beliau juga merupakan orang yang terakhir keluar dari kelas tersebut. Orang kata beliaulah 'tuan' kelas tersebut. Apabila diberi tugasan oleh guru, beliau sahajalah yang akan menyiapkan dahulu. Guru bagi kerja hari ini, hari itu juga beliau siapkan. Ada sahaja discussion, beliau yang akan menghangatkan kumpulan diskusi tersebut.
          Namun, semakin lama ku renungi beliau, prestasi beliau kiat merundum. Beliau kelihatan lemah. Beliau kelihatan seolah-olah kehilangan sesuatu. Aku pun menghampirinya dan bertanyakan keadaan beliau. Perangainya di kelas seperti awal semester kian pudar dan rakan-rakan sekelasnya khuatir apa yang telah terjadi padanya. Beliau sering jatuh sakit dan kian menyendiri di kamarnya.
          Aku mengetuk pintu biliknya. Dna membukanya dan mempelawaku masuk. Setelah bertanyakan perihal tugasan dan ulangkaji, ku bertanyakan keadaan beliau. Aku boleh nampak dengan jelas. Beliau sering mengelak dari bercerita tentang dirinya. Beliau sering mencuba mengalihkan perhatian dengan berceritakan tentang keadaan kolej, isu semasa dan sebagainya.
          Akhirnya, aku bertegas dan dia pun menyerah. Beliau kemudiannya berterus terang akan situasi dan konflik dalaman yang dihadapinya sendiri tanpa pengetahuan orang lain selain aku. Beliau, berceritakan masalah yang dihadapi oleh keluarganya. Ayahnya, dipenjarakan dan adik-adiknya terbiar di rumah. Tiada sesiapa yang menjaga adik-adiknya di rumah melainkan neneknya.
          Baruku tahu, ibunya telah pergi meninggalkannya sejak beliau di bangku sekolah kerana penyakit radang paru-paru. Aku menangis di dalam hati apabila mendengar corat-coret kisah hidupnya kerana ku tahu beliau merupakan seorang yang ceria dan peramah dan prihatin. Beliau sering menggembirakan hati sahabat-sahabatnya yang menimpa kesusahan. Beliau sering belanja rakan-rakan kelasnya di kafe.
          Ku sedar bahawa beliau mengalami 1001 kesusahan dan menghadapinya keseorangan. Beliau mententeramkan dirinya dengan menghadap Allah S.W.T. dan meminta bantuan serta pertolongan dari-Nya. Beliau sering kali membaca Al-Quran pada waktu malam di kamarnya dan rajin bertahajjud untuk memohon bantuan dan kasih daripada Tuhan beliau.
          Mengapakah aku sering kali mengaduh kesakitan yang ku hadapi selama ini walau ianya sebesar jari kelingkingku? Mengapa aku mengeluh apabila ditimpa ujian seperti tugasan yang banyak diberikan oleh guru? Mengapa aku sering merasakan penat apabila diberi ujian yang kecil oleh Allah S.W.T.? Mengapa aku masih tidak bersyukur dengan apa yang Allah S.W.T. berikan kepadaku?
          Kemudian, beliau pun menceritakan rahsia disebalik persahabatan yang beliau jalinkan bersama dengan seorang rakan sekelasku. Beliau mengenali perempuan ini sejak semester pertama di kolej. Beliau dan gadis ini berkenalan dan berkongsikan masalah dan cerita bersama-sama. Mereka saling membantu antara satu sama lain dan sering bertukar-tukar hadiah apabila ada kesempatan.
          Benarlah, dunia percintaan ini kian mekar pada zaman remaja. Namun, ku dengarkan sahaja cerita beliau. Beliau dan gadis ini mempunyai minat, haluan dan pemikiran yang sama. Bak kata orang, bagai pinang dibelah dua. Kelakar. Setelah lama beliau dipressure dengan masalah keluarga beliau serta kondisi kesihatan beliau, beliau sering menceritakan kepada gadis ini.
          Namun, nak diringkaskan cerita gadis ini terpaksa meninggalkan beliau atas urusan peribadi yang menyebabkan gadis tersebut tidak dapat menyambung pengajian di kolej ini. Beliau amatlah sedih dan sering kali tidak berputus asa memberikan harapan baharu kepada gadis tersebut. Namun, keadaan semakin menjadi teruk apabila gadis tersebut meninggalkan beliau tanpa berhubungan dengan beliau.
          Akhirnya, beliau pun bersendirian dengan keadaan yang teruk dan amat menyedihkan. Ku amat bersimpati akan keadaan beliau dan ku cuba berikan semangat yang baharu kepadanya. Oleh itu, dalam sesebuah persahabatan adanya percintaan yang akan menjalinkan tautan ukhuwah atau silaturrahim antara insan yang bergelar umat Nabi Muhammad S.A.W..

Rabu, 15 Julai 2015

Sekolahku Mashoor

Alunan merdu ayat Al-Quran,
Teliti ku baca setiap barisan,
Rutin pagi dilazimkan,
Santapan rohani setiap insan,
Guruku masuk di pintu depan,
Assalamualaikum dihulurkan,
Doa dibaca, kelas dimulakan,
Ilmu sedia dicurahkan,
Beri nasihat dan teguran,
Ku tadahkan tangan kanan,
Moga ilmu dapat diamalkan,
Songkokku menjadi pakaian,
Menjadi lambang kemasyuran,
Kitab ku buka jadi rujukan,
Kamus ku selak jadi terjemahan,
Kalimah Arab menjadi manisan,
Tak jemu ku sebutkan,
Ku ukirkan menjadi hiasan,
Sebagai pelajaran dan latihan,
Al-Mashoor (Lelaki) ku dibesarkan,
Di tengah bandar dan kesibukan,
Walau dihadapi banyak tekanan,
Sekolahku tetap menjadi pilihan,
Di sinilah pemimpin dilahirkan.

Sabtu, 21 Mac 2015

Perjalananku selepas SPM

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua pembaca! Apa khabar semua? Ya Allah, lama sungguh si penulis blog ini tidak mengemaskini blognya. Benar, hal ini kerana saya kini melanjutkan pengajian dan sibuk dengan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Alhamdulillah, telah saya temui masa ini untuk diluangkan bersama para pembaca sekalian. Baru-baru ini telah keluar keputusan adik-adik SPM 2014 bulan lepas dan Alhamdulillah, keputusan mereka seperti biasa. Ada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ada yang sekadar cukup-cukup makan.
          Namun, apa yang ingin saya tekankan ialah segala keputusan yang anda perolehi adalah di tangan Allah S.W.T.. Maka, bersyukurlah dengan apa yang Allah S.W.T. berikan kepada kita semua. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya kerana Allah S.W.T. Maha mengetahui. Apa kaitan dengan tajuk yang saya berikan kali ini? Anda semua mesti tertanya-tanya, bukan?
          Ya, suka untuk saya kongsikan perjalanan saya selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013. Selepas sahaja peperiksaan SPM pada bulan Disember, saya telah menerima surat jemputan daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkenaan dengan penyertaan saya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
          Pada mulanya, saya telah merancang untuk bekerja sambilan dan membuat lesen memandu dalam tempoh tiga bulan tersebut. Namun, sebagaimana kita tahu, kita hanya mampu merancang akan tetapi Allah S.W.T. yang menentukannya. Jadi, saya pun melaporkan diri ke Kem PLKN Dusun Minda Resort di Kuala Nerang, Kedah.
          Dengan rasa terbuka hati, saya bertekad untuk mencari ilmu pengetahuan yang ada dalam program kebangsaan ini. Sebagaimana orang lain mengatakan bahawa program ini banyak negatif daripada positif, saya menafikannya kerana saya telah melaluinya. Ini kerana, jika kita menggunakan sepenuhnya program ini untuk kebaikan diri kita, maka kita akan dapat apa yang kita mahukan.
          Hasilnya, banyak pengalaman yang saya perolehi daripada program tersebut. Lagi-lagi baru keluar daripada sekolah aliran agama (culture shock). Saya amat bersyukur kerana dapat mengenali dan bergaul dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang. Di kem saya, saya dapat berkawan dengan bangsa India, Cina dan Siam.
          Memanglah orang akan kata saya lurus namun, di sinilah saya membuka mata dan melihat realiti sebenar belia dan fikiran mereka dalam masyarakat di negara kita. Ada yang baik dan ada yang sebaliknya. Akan tetapi, di kem tersebut, kesemuanya berfikiran positif dan ingin berubah ke jalan yang lurus.
          Berdasarkan kisah-kisah rakan-rakan saya di sana, ada yang datang daripada keluarga yang susah sehinggakan mereka sanggup memakai pakaian yang diisukan oleh pihak kem sahaja tanpa pakaian daripada rumah mereka disebabkan kemiskinan sepanjang program ini dijalankan. Mereka ini amat bersyukur kerana diberi peluang untuk hadir ke kem ini.
          Selain itu, ada yang mempunyai masalah peribadi sehinggakan dia melibatkan diri dalam gejala menghisap rokok dan dadah. Saya amat bersimpati ketika bertemu mereka yang sebaya dengan saya. Apa yang saya kagum daripada mereka ialah mereka tidak berasa malu untuk menceritakan pengalaman hidup mereka di samping menasihati saya agar tidak mengikuti jejak langkah mereka.
          Benar, masyarakat kita berbagai-bagai jenis spesis. Bak kata pepatah, banyak orang, banyak ragamnya. Namun, apa yang ingin saya tekankan ialah kita seharusnya prihatin dengan semua orang dan pupuk sikap simpati dan empati dalam diri kerana dengan sikap ini kita dapat membantu saudara saudari kita yang hanyut. Banyak benda yang saya dapat daripada PLKN.
          Saya amat bersyukur dengan apa yang Allah S.W.T. berikan kepada saya ini. Jika hendak dibandingkan nikmat yang kita perolehi dengan rasa syukur kita amatlah jauh bezanya. Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri dan senantiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. sebelum Allah S.W.T. menarik balik kesemua nikmat tersebut. Wallahualam.