Jumaat, 28 Oktober 2011

Hari-hari Sekolah

Assalamualaikum, para blogger. Mengikut janji saya semalam saya ingin berkongsi pengalaman ketika tidak membaik pulih blog saya ini. Ketika itu, saya amat sibuk dengan hal di sekolah saya. Antara program yang diadakan ialah Bengkel Pengurusan Jenazah, Ibadah Qurban, Kursus Haji, bermain bowling di Sunshine Square, Bayan Baru, Futsal di Gelugor dan Jungle Tracking di Taman Negara di Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Aktiviti-aktiviti tersebut banyak memberi pengalaman yang manis dan ilmu yang bermanfaat bagi saya. Pertama sekali, Bengkel Pengurusan Jenazah diadakan di surau sekolah saya. Bengkel ini diadakan selama dua hari dan melibatkan cara memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan (Solat Jenazah) dan menanamkan jenazah. Bengkel tersebut dikelolakan oleh seorang pesara yang kini bekerja sebagai pengurus jenazah. 
Keesokan harinya, saya menyertai Kursus Sembelihan & Ibadah Haji. Dalam aktiviti sembelihan, saya telah berjaya menyembelih tiga ekor ayam dan aktiviti ini dapat menghilangkan rasa takut saya terhadap darah (saya sebenarnya takut darah) dan menyembelih haiwan. Aktiviti ini dikelolakan oleh ustaz sekolah saya dan ia dijalankan selama 3 jam.
Selepas aktiviti sembelihan, kami (para pelajar) berehat dan seterusnya menuju ke surau untuk mendengar ceramah tentang ibadah haji. Selepas mendengar ceramah, pelajar-pelajar Tingkatan 3 termasuk saya diajar cara memakai ihram dan kami bersama-sama pelajar-pelajar Tingkatan 1 & 2 bergerak menuju ke padang untuk menjalankan demo tawaf.
Kami dikehendaki memusing ka'bah buatan sebanyak 7 kali dan penceramah mengajar kami cara-cara dan pantang larang ketika memakai ihram. Antaranya, tidak boleh membuka ihram selagi ibadah haji kita tidak sempurna dan dilarang memotong kuku yang panjang. Walaupun keadaan di tengah-tengah padang panas terik, tetapi kami seronok mendapat ilmu sebergini sejak muda-muda lagi.
Pada hari Isnin yang lalu, kami dibawa pihak sekolah ke Sunshine Square di Bayan Baru untuk bermain bowling. Walaupun, saya pernah dua kali bermain permainan ini bersama keluarga saya, tetapi saya seronok kerana dapat membantu rakan dengan mengajar mereka cara bermain dengan betul dan bermain dengan rakan-rakan yang selama ini kami tidak pernah bermain bowling bersama-sama.
Pada hari Selasa, kami ke Gelanggang Futsal Gelugor untuk bermain futsal. Kami dibahagikan dua kumpulan setiap kelas maka terdapat 10 kumpulan yang bertanding dalam perlawanan futsal (Tingkatan 3 di sekolah saya mempunyai 5 buah kelas). Saya menyertai kumpulan pertama kelas saya bersama rakan-rakan yang lain dan kami telah memperoleh tempat ke-4.
Pada hari Khamis lepas, kami menaiki dua buah bas menuju ke Taman Negara, Teluk Bahang. Setibanya di sana, kami bergambar berlatarbelakangkan pemandangan laut yang begitu indah. Selepas itu, kami diberi taklimat ringkas oleh dua orang pemandu pelancong (kami ini pelancong) sebelum memasuki Taman Negara. Kami mendaki bukit dan menuruni lembah di dalam taman itu kira-kira 2 jam setengah.
Akhirnya, kami tiba di sebuah pantai yang indah dan bersih iaitu Pantai Keracut. Pantai tersebut terletak di sebelah barat laut Pulau Pinang dan ia merupakan pantai yang dijaga rapi oleh Pegawai Taman Negara. Pada pendapat saya, pantai tersebut merupakan pantai yang tercantik dan yang paling bersih daripada pantai di Batu Feringgi. Ketika berada di sana, kami bergambar dan makan tengah hari sambil menghirup udara yang segar dan nyaman.
Pada pukul 1:30 tengah hari, kami pulang ke Teluk Bahang dengan menaiki bot. Ketika inilah kami mendapat nikmat Allah SWT dengan angin yang segar lagi laju. Konklusinya, program-program yang dijalankan oleh pihak sekolah khususnya kepada kami pelajar Tingkatan 3 mempunyai banyak faedah dan boleh menenangkan minda dan akal fikian kami dan juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang munasabah ini.
Sekian sahaja pengalaman saya yang ingin dikongsikan kepada anda. Segala yang baik datang daripada Allah SWT dan segala yang tidak baik datang daripada saya sendiri. Mohon maaf atas kesilapan saya dan ketidak ubahsuaian blog saya ini. Sekian, Wassalam.