Khamis, 10 Mac 2016

Warkah dari Labohan Dagang

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sehati sejiwa. Inginku coretkan luahan hati aku setelah hampir dua tahun berada di kuliah ini. Dahulunya, aku cinta akan tempat ini sebagai pusat untuk menimba ilmu pengetahuan selain dapat mengenal bakal-bakal profesional dari seluruh tanah air yang dikumpulkan di kuliah ini. Setiap warga kuliah ini adalah manusia-manusia yang hebat belaka. Ada yang petah berhujah di khayalak ramai dalam bahasa penjajah, ada yang cerdik dalam menyelesaikan masalah-masalah rumit dalam ilmu kira-kira, ada yang hebat membuat hasil seni yang amat menakjubkan, ada yang cekap memainkan alatan musik yang menhasilkan irama merdu bermelodi dan sebagainya.
          Mulanya, aku bersyukur kerana dapat bergaul dengan mereka yang hebat ini. Kebanyakan mereka pandai menyusun kata dan menyimpan janji-janji manis dalam menjalinkan hubungan persahabatan denganku. Aku termakan sikap yang ditunjukkan mereka selama ini dan amat berharap agar kami semua dapat berjaya dalam program di kuliah ini. Walaupunku tahu, diriku seumpama sebatang pohon yang tidak berbuah. Namun, aku tetap akan berusaha mengeluarkan hasil yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain.
          Sepanjang hayatku di kuliah ini, aku memayungi rakan-rakan yang ditimpa musibah dan ujian dalam hidupnya sebagai seorang pelajar. Aku empati terhadap diri mereka dan cuba untuk menyelami keadaan mereka yang dalam kesempitan. Ada dalam kalangan mereka yang putus cinta, ada yang mempunyai masalah kawan, ada yang dihina, ada yang dizalimi dan ada yang hampir berputus asa dalam perjuangan menamatkan program di kuliah ini. Rintihan demi rintihanku dengari dan aku juga dapat merasakan tempias seperti air hujan.
          Adakah dunia ini tidak adil? Mengapakah Allah S.W.T. harus memberi ujian seteruk itu kepada mereka? Apakah salah mereka? Jawabannya telah pun aku temui setibanya di Semester 3. Aku ditimpa ujian yang berat. Amat berat. Aku dihina. Aku dizalimi. Aku ditinggalkan oleh rakan-rakan karibku yang dahulunya kami telah berjanji setia untuk bersama-sama meneruskan perjuangan. Ketika ini aku hanya dapat mendengar apa kata orang terhadap diri aku. Ada yang kata aku ini mengambil kesempatan. Mengelat. Sukar untuk dipercayai. Salah pilih kawan dan sebagainya.
          Aku sedih! Kenapa aku ditinggalkan dalam keadaan sebegini? Apa salahku? Masa ini aku kenal apa maksud kawan dan sabahat. Barulah aku tahu siapakah kawan dan siapakah yang menodai aku. Aku amat kesal kerana orang yang dahulunya aku percaya telah mendustai aku. Aku sedih kerana mereka yang menggelarkan dirinya 'sahabat' dahulu telah melupakan aku setelah ditimpa ujian yang amat besar.
          Kini, perjalanan dua tahun di sini bakal menutup tirai dan aku telah pun jumpa teman sejati aku yang ada di sisiku. Aku amat bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dapat aku ketemukan dengan mereka walaupun kami semua berlainan kelas. Persahabatan kami ini tidak mengira latar belakang kerana kami semua sama dan bersatu untuk berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Tiap hariku berdoa kepada Allah S.W.T. moga persahabatan kami ini akan berkekalan sehingga ke syurga nanti. In sha Allah...


Tiada ulasan: